Valencia, Sepanyol, 11 November 2025 – Team Malaysia selamat tiba di Valencia, Sepanyol bagi menghadapi perlumbaan akhir Kejuaraan Dunia FIM MiniGP 2025. Seramai 46 pelumba dari 22 negara akan beraksi dalam kategori 160, manakala 26 pelumba dari 15 negara akan bersaing dalam kategori 190.
Kesemua mereka merupakan pelumba terbaik yang mewakili negara masing-masing, termasuk wakil Malaysia yang terdiri daripada juara dan naib juara FIM MiniGP Malaysia 2025. Bagi kategori 160, Malaysia diwakili oleh Al-Adam Mikail dan Qasha Irfan, manakala kategori 190 menampilkan Qabil Irfan dan Adam Aiman.
Seperti edisi-edisi sebelumnya, setiap pelumba akan disediakan dengan kelengkapan perlumbaan seperti racing suit, sarung tangan, dan peralatan lain. Sementara itu, motosikal rasmi untuk perlumbaan ini disediakan oleh Ohvale, selaku penaja rasmi kejuaraan akhir.
Sesi latihan akan bermula pada Selasa, diikuti dengan perlumbaan utama pada Rabu, yang akan disiarkan secara langsung di laman rasmi MotoGP.com.






“Tahun ini hanya dua pelumba dari kategori 160 dan dua pelumba dari kategori 190 akan beraksi pada minggu ini. Saya sangat yakin kerana ini merupakan penyertaan kali kelima kami di Kejuaraan Dunia MiniGP. Saya benar-benar teruja untuk memulakan sesi kejuaraan dunia kali ini. Perlumbaan sebenar akan berlangsung pada hari Khamis dan Team Malaysia akan berusaha sehabis baik untuk membawa kemenangan buat Malaysia. Jangan lupa untuk terus memberi sokongan dan ikuti perkembangan kami di media sosial FIM MiniGP Malaysia.”
