Sepang, Selangor, 07 Oktober 2025 – Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 2025 kini tiba ke kemuncaknya apabila Litar Kart Antarabangsa Sepang menjadi gelanggang penutup musim. Aksi di pusingan terakhir ini dijangka penuh dramatik kerana masih banyak kedudukan penting yang belum ditentukan, meskipun sebahagian pelumba sudah mengesahkan tiket ke FIM MiniGP World Final di Valencia, Sepanyol.
Dalam kategori FIM MiniGP 190, pelumba muda sensasi negara, #1 Qabil Irfan, telahpun dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan 2025 sekali gus mengesahkan tempat ke World Final. Walau bagaimanapun, saingan untuk merebut tempat kedua masih terbuka luas dengan lima pelumba kini bersaing sengit bagi merebut tiket terakhir ke Valencia. Pertarungan ini dijangka menjadi antara tumpuan utama hujung minggu ini.
Sementara itu, kategori FIM MiniGP 160 pula menyajikan debaran tersendiri. Dua pelumba telahpun mengesahkan tiket ke World Final, namun gelaran juara keseluruhan masih belum ditentukan. Pertembungan hebat dijangka antara #16 Al-Adam Mikail dan #19 Qasha Irfan, dengan hanya dua mata yang memisahkan kedua-dua pelumba muda ini. Perlawanan penentu ini bakal menentukan siapakah yang akan muncul sebagai juara sebenar musim 2025.
Tidak kurang menarik, kejohanan SIC Ohvale Junior Championship turut menyajikan saingan yang seimbang apabila tiga pelumba – #15 Arby Thoriq, #14 Firash Naufal dan #12 Ziqry Rayyan, masih dalam perebutan untuk merebut gelaran Overall Champion 2025.
Bagi kategori RCB Minimoto Championship, #14 Fayyadh Anaqi telahpun muncul juara keseluruhan. Namun begitu, saingan bagi kedudukan tempat kedua dan ketiga masih belum berakhir dan dijangka memberi aksi penuh mendebarkan pada pusingan akhir ini.
Dengan begitu banyak perebutan kedudukan yang masih terbuka, penutup musim di Sepang ini dijangka akan menghadirkan perlumbaan penuh emosi, mendebarkan dan menjadi medan terbaik untuk menguji ketahanan serta kehebatan pelumba-pelumba muda tanah air sebelum sebahagian mereka melangkah ke pentas dunia.
Pengunjung dan para peminat sukan permotoran dijemput hadir bersama-sama menyaksikan perlumbaan yang penuh dramatik di pusingan akhir FIM MiniGP Malaysia pada 11 dan 12 Oktober 2025, minggu ini di Litar Kart Antarabangsa Sepang.
Race Day Facebook Live Streaming Link (AHAD):
🔗 https://www.facebook.com/share/1BJjWDGQxm/
Race Day Youtube Live Streaming Link (AHAD):
🔗 https://www.youtube.com/live/22CUQ_P1kak?si=yrdaNPW77Rr4TDW6
Di Sebalik Helmet Facebook Live Streaming (SABTU):
🔗 https://www.facebook.com/share/179Dmq1xCB/
Di Sebalik Helmet Youtube Live Streaming (SABTU):
🔗 https://www.youtube.com/live/qrfkwVJFW3g?si=BEY0HltQu1x75d3c













“Pusingan terakhir di Litar Sepang ini amat penting, khususnya bagi kategori FIM MiniGP 190 kerana masih ada seorang lagi pelumba yang akan melayakkan diri ke FIM MiniGP World Final di Valencia tahun ini. Berbeza dengan tahun lalu, hanya dua pelumba akan mewakili Malaysia, dan persaingan dalam kategori 190 kali ini benar-benar sengit.
Bagi kategori 160, kedudukan mata sudah jelas apabila Qasha dan Al Adam bakal membawa cabaran Malaysia ke World Final. Namun, perebutan gelaran juara keseluruhan masih terbuka dan saya yakin kedua-dua pelumba ini akan memberikan saingan yang hebat.
Dalam SIC Ohvale Junior Championship pula, saya melihat Thoriq memiliki kelebihan mata yang besar. Saya berharap pelumba-pelumba Malaysia lain dapat memberi tentangan terbaik kepada Thoriq. Untuk RCB Minimoto Championship, walaupun Fayyad Anaqi sudah mengesahkan gelaran juara, saya percaya persaingan tetap sengit kerana pelumba dalam kategori ini sudah mengenali motosikal dengan baik dan berlatih secara konsisten. Apa yang menarik, catatan masa mereka menunjukkan peningkatan besar, hampir empat saat lebih pantas berbanding pusingan pertama, dan saya pasti perlumbaan kali ini akan berlangsung dengan sangat kompetitif.”
