SEPANG, 12 OKTOBER 2025 – Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik di Litar Kart Antarabangsa Sepang, terutama dalam perebutan tiket ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.
Pada pusingan kelima, tumpuan jelas terarah kepada kategori FIM MiniGP 190 apabila pelumba sensasi dari Terengganu, #1 Qabil Irfan Azlan, secara rasmi dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan 2025 dengan pungutan mata maksimum 250 mata, selepas menguasai sepenuhnya kedua-dua Perlumbaan 1 (Race 1) dan Perlumbaan 2 (Race 2).
Dominasi penuh Qabil musim ini menjadikan beliau pelumba pertama dalam sejarah FIM MiniGP Malaysia yang memenangi kesemua pusingan (Perfect 10) dalam satu musim tanpa dicabar hebat oleh mana-mana pelumba lain di Malaysia. Qabil akan berangkat ke Valencia bagi menyertai Kejuaraan Siri Dunia MiniGP. Lebih menarik, beliau akan ditemani oleh Adam Aiman selepas pelumba berusia 13 tahun itu memanfaatkan peluang dengan baik apabila pencabar terdekatnya, Qayyim Razin yang terjatuh dalam Race 1.
Adam turut menamatkan Race 2 di tempat kedua, mengutip mata berharga untuk mengukuhkan kedudukan sebagai naib juara perlumbaan 190cc tersebut dengan mengumpul 163 mata, manakala Qayyim Razin menamatkan musim di tempat ketiga dengan 146 mata.
Qabil Irfan meluahkan rasa gembira dengan pencapaian tersebut dan mahu membawa momentum kemenangan ini ke Valencia untuk menambah gelaran juara di Eropah.
“Saya akan terus menjalani latihan seperti biasa kerana kita tahu cabaran di Eropah pasti sengit. Setiap negara menghantar pelumba terbaik mereka. Jadi, saya tidak boleh kekal selesa dengan keputusan yang saya capai hari ini,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Perlumbaan FIM MiniGP 160cc
Dalam kategori FIM MiniGP 160, Al-Adam Mikail terus mempersembahkan aksi terbaiknya apabila menoktahkan gelaran juara keseluruhan selepas muncul juara dalam Race 1 dan tempat kedua dalam Race 2. Biarpun ditentang hebat oleh Qasha Irfan, Al-Adam kekal konsisten dan berjaya mengatasi Qasha dengan perbezaan hanya 2 mata, menamatkan musim dengan 203 mata berbanding Qasha yang mengutip 201 mata.
Keputusan ini membolehkan Al-Adam mencipta gelaran juara berturut-turut, selepas turut muncul juara SIC Ohvale Junior Championship 2024. Kedua-dua pelumba turut berjaya mengesahkan tempat ke World Final, hasil prestasi cemerlang mereka sepanjang musim. Nufayl Darwisy pula menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan dengan 132 mata, selepas menunjukkan peningkatan ketara di pertengahan musim.
“Saya gembira kerana tahun ini juga saya berjaya bergelar juara. Edisi lalu saya mencipta kemenangan dalam kategori 110cc dan kini dalam 160cc. Saya akan terus berlatih kerana misi selepas ini adalah di Valencia,” kata Al-Adam Mikail.
Aksi Dramatik SIC Ohvale Junior Championship
Kategori SIC Ohvale Junior Championship turut menyaksikan pertarungan sengit antara pelumba muda yang semakin menyerlah dalam siri kejohanan ini. Pelumba kelahiran Indonesia, Arby Thoriq, mencuri tumpuan apabila kemenangan di Sepang membantunya menamatkan musim 2025 sebagai Juara Keseluruhan dengan 195 mata. Biarpun ditentang hebat oleh pelumba Malaysia, Arby kekal konsisten dan tidak memberi ruang kepada pencabar terdekatnya, Firash Naufal dan Ziqry Rayyan, untuk merampas kejuaraan.
Firash menamatkan musim sebagai naib juara dengan 155 mata, diikuti Ziqry di tempat ketiga dengan 122 mata.
RCB MiniMoto Championship
Dalam kategori RCB MiniMoto Championship, pelumba cilik negara Wan Haqim Al-Mahdi mencuri perhatian apabila melakar dua kemenangan berturut-turut pada pusingan akhir, sekaligus meraih naib juara pusingan kelima. Fayyadh Anaqi pula telah mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan 2025 lebih awal, selepas mengumpul 161 mata, hasil dominasi sejak awal musim.
Saingan kedudukan kedua dan ketiga menjadi antara tumpuan utama pada pusingan akhir, menyaksikan Wan Haqim (135 mata) dan Faith Mikael (113 mata) masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dalam keseluruhan kejohanan.
SENARAI PESERTA & KEDUDUKAN KESELURUHAN









“Alhamdulillah, secara keseluruhannya penganjuran FIM MiniGP Malaysia Series 2025 berjalan dengan sangat lancar. Tahun ini kita turut memperkenalkan satu kategori baharu, RCB MiniMoto tahun ini dan saya bersyukur kerana program ini dapat sambutan yang amat positif.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan penghargaan kepada rakan penaja seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), serta semua kru ZK Racing yang bekerja keras sepanjang musim memastikan setiap maklum balas daripada peserta dan ibu bapa malah ditangani dengan baik. Mereka ini tulang belakang kejayaan penganjuran tahun ini.
Terima kasih juga kepada semua ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi serta kepada rakan media yang terus membantu mempromosikan bakat-bakat muda negara. Program ini juga kita dapat banyak maklum balas yang baik dimana kita bina platform kukuh. Kita akan kembali dengan lebih mantap pada musim 2026. Tahniah kepada semua juara dan peserta yang menjayakan kejohanan tahun ini,” katanya.

